Tangisan Langit
Aku keluar dari perut kereta lalu
mengorak langkah masuk ke dalam kafe minuman Chatime. Aku sendirian beratur di
barisan kaunter untuk membuat pesanan dengan beberapa orang turut beratur di
hadapan aku. Selesai membuat pesanan aku berdiri di tepi kaunter tempat
mengambil minuman pesanan aku.
Nombor giliran aku dipanggil lalu aku segera
mencapai plastik berisi bekas minuman milik aku namun entah mengapa muncul tangan melanggar tangan aku. Aku menahan diri
daripada hendak marah terhadap entah makhluk mana ni. Aku mengalih wajah
menghadap lelaki yang berdiri di sebelah aku.
“Sorry.” Ucapnya sepatah lalu terkedu
memandang aku.
Aku turut tersentak memandangnya.
Niat aku yang ingin menayang wajah serius dek rasa amarah terus mati dan aku
lama memandangnya tidak berkelip sebelum aku menundukkan wajah lalu mengatur
langkah untuk keluar daripada kafe ini.
“Ed! Edlyn!” Panggilnya sambil
mengejar aku.
Aku berhenti walaupun separuh hati
aku tidak mahu.
“Ada apa?” Aku memaksa hati untuk
menjawab.
“Awak free sekarang ni? Kita duduk
berbual sekejap?”
Duduk berbual? Berbual? Lidah aku
terkelu sambil fikiran aku mulai menayangkan segala memori masa lalu yang
terjadi. Firash Amsyar.
Aku berjalan ke arah tempat yang
menjadi pilihan Firash bersama dua sahabat aku setelah kami berjumpa buat
pertama kali di rumah kawannya yang berkawan dengan bakal kakak ipar aku iaitu
Kak Saffa. Kerana Kak Saffa aku dapat mengenali kewujudan lelaki bernama Firash
Amsyar wujud di dunia ni.
Aku
masuk ke dalam kedai yang Firash katakan. Aku mesej dia lagi inginkan kepastian
kerana aku tidak nampak kelibat dirinya. Aku hanya akur apabila dia pilih kedai
99 speedmart untuk bertemu dengan aku buat kali pertama selepas pertemuan
pertama kami di majlis rumah terbuka kawannya minggu lalu.
Aku tersenyum lebar apabila
telah menemui dia di lorong hujung. Aku berdiri di hadapan dia lalu menyapa dia
dengan senyuman. Aku mendongak memandangnya walaupun seluruh badan bergetar dek
rasa gemuruh. Hati aku berdegup kencang seakan mahu meletop. Aku dan dia
berjalan ke setiap lorong sambil berbual kosong.
Hampir setengah jam berlalu,
aku dan dia keluar daripada 99 Speedmart dan aku perlu melintas jalan namun aku
ditinggalkan oleh kawan-kawan aku yang tadinya datang bertiga. Mereka berdua lekas melintas jalan tanpa
menoleh ke belakang sambil ketawa. Aku berdiri di sebelah Firash sambil
merungut.
“Saya tak biasa jalan seorang!”Aku
mengeluh di sebelahnya.
“Tak apa, saya hantar.”Dia berkata
dengan nada biasa.
Aku akur mengekori langkahnya untuk
melintas jalan. Dalam hati aku melonjak keriangan. Segala pertama kali tercipta
hari ini.
“Awak pernah berjalan dengan lelaki?”
Soalnya tiba-tiba.
“Hm? Tak pernah. Ni first time.”
Dia menunjukkan reaksi terkejut.
“First time?” Suaranya sedikit
meninggi.
“Ya,first time.”
Dia seakan tak percaya tapi itulah
kenyataannya. Ya, tak pernah. Saya bukan sejenis senang rapat dengan lelaki
apatah nak keluar dengan lelaki. Awak yang pertama.
“Saya tak pernah hantar orang balik
rumah.” Katanya bersahaja.
“Tak pernah?”
“Tak. Tak pernah. Selalunya jumpa je
dekat luar. Taka da pun hantar balik rumah.”
Aku hanya diam.
“Tak apalah lepas ni saya tahu rumah
kawan awak dekat mana.” Tambahnya lagi.
Aku menguntum senyuman. Setiap
langkah kami mendekatkan aku dan dia untuk menamatkan pertemuan pertama kami.
“Bye,thank you.” Ucap aku menyimpan
rasa berat hati untuk mengakhiri pertemuan aku dan dia.
“Okey…”Jawabnya sebelum berpaling
untuk pergi.
Aku berjalan masuk ke dalam rumah
tetapi aku berpatah balik untuk melihat dia lagi. Dia turut menoleh memandang
aku. Aku tersenyum lagi dan lagi. Pertemuan pertama dan segalanya pertama kali.
Masa terus berlalu dan setiap detik
yang berputar mendekatkan aku dan Firash. Aku dan dia saling mengetahui isi
hati masing-masing. Setiap hari yang berlalu, aku dan dia meluangkan masa
bersama walaupun sekadar dalam talian sepanjang hari. Firash menunjukkan sifat
penyayang dan ambil beratnya terhadap aku.
Hal itu, menyebabkan aku menanti akan
mesej dia saban hari dan suara dialah yang membuaikan aku dalam mimpi indah
yang mengkhayalkan aku dalam mahligai angan-angan. Aku pun biarkan dia membelai
sang hati dan mengikatnya dengan simpulan kasih yang tak kesudahan.
Tibalah satu masa, aku sangakakan panas
hingga ke petang namun hujan di tengah hari. Panggilan dia selepas beberapa
minggu dia sibuk dengan aktivitinya, menyambut kerinduan aku dengan khabar
untuk melangkah pergi. Dia memberitahu pelbagai alasannya dengan harapan aku
akan undur diri setelah mengetahui kelemahan dan keburukan dirinya.
Kejujuran dia tentang situasi sebenar dirinya sedikit demi sedikit
mengguris hati aku namun inilah antara sebab membuatkan aku terus terikat
dengan dirinya. Kebiasaannya manusia hanya akan menzahirkan kebaikan,
kelebihan, dan kesempurnaan sifat diri mereka tetapi dia berbeza. Di awal
perkenalan kami dia sanggup memburukkan diri dia semata-mata untuk aku undur
diri. Saya bukan manusia macam tu Firash, sekali saya terkurung dalam
bayang-bayang tak semudah itu saya boleh terima kehilangan awak.
“Ex saya contact saya balik. Saya
takut saya akan kecewakan awak. Awak masih terlalu muda , saya tak nak sakitkan
awak. Saya takut nanti bila dia datang balik, saya akan tinggalkan awak. Saya
bukan lelaki yang baik untuk orang sebaik awak.” Katanya bersungguh-sungguh
“Saya tak kisah semua tu. Tak apa,
saya tak kisah.” Aku meyakinkan dia dengan harapan hubungan yang tanpa tali
pergantungan ini akan terbang walaupun tak bersayap.
“Ed! Awak first time nak berkawan
dengan lelaki dan saya tak nak awak tersalah pilih. Saya bukan lelaki yang
baik, Ed. Saya tak boleh pilih. Saya sayangkan dia tapi saya sukakan awak.”
Aku terkedu.
“Saya tak suka kongsi kasih sayang.
Tak apa, masa dia ada, awak pergi dekat dia tapi bila dia tinggalkan awak, saya
ada untuk awak. Datang dekat saya.”
“Mana boleh macam tu nanti nampak
yang saya ni jahat. Bila dia ada saya pergi dekat dia, bila dia tak ada saya
pergi dekat awak.”
“Habistu saya nak buat apa?” Soalku
dengan perlahan. Awak nak saya buat apa Firash sedangkan sepasang mata saya dah
terletak pada awak.
Selepas lama aku dan dia saling
berbincang tentang langkah kami seterusnya, aku dan dia sama-sama mematikan
talian tanpa keputusan muktamad dan kami akan teruskan segalanya. Lena aku
terganggu dek memikirkan jalan mana yang harus aku pilih. Mutiara jernih
mengalir dan aku buntu apa yang patut aku lakukan. Aku berharap aku dapat
mengelak segalanya yang mungkin terjadi dan pelihara sang hati daripada terluka
ditikam halus oleh masalah yang mungkin terjadi nanti.
Beberapa hari aku kusut
mengenangkan setiap kata-kata yang dia keluarkan dari mulutnya tempoh hari. Aku
masih tak nampak jawapan. Akhirnya aku bertindak untuk menjauhi dia dengan
harapan aku akan tahu aku masih perlukan dia atau aku perlu undur diri dan
tamatkan segala ceritera kami yang masih baru bermula.
Firash
– Awak okey tak?
Edlyn
– Ok.
Firash
– Kenapa awak macam ni?
Edlyn
– Tak ada apa.
Firash
– Bagitahulah kalau awak ada apa-apa nak cakap.
Edlyn-
Tak ada apa.
Setiap mesej dia aku
balas acuh tak acuh selepas aku meminta tolong bakal kakak ipar aku yang
menjadi orang tengah untuk memberitahu dia untuk tidak menghubungi aku buat
masa ini. Aku perlukan masa untuk bersendirian dan fikirkan semula tentang aku
dan dia. Aku berharap dengan masa yang ada ini aku dapat tahu lorong mana yang
aku patut lalui untuk menemui jalan hidup aku yang lebih baik. Undur diri atau
teruskan kerana perkara yang aku nak hindari telah meletakkan aku dalam situasi
buntu dan keliru.
Firash
– Awak dekat mana?
Edlyn
– Saya dekat rumah kawan saya.
Firash
– Boleh nak jumpa tak? Saya balik sekarang.
Edlyn
– Nak jumpa?
Firash
– Saya balik dari U saya sekarang. Kita jumpa.
Lebih setengah jam aku
menanti dia dan dia tiba di kedai berdekatan seperti yang dia janjikan. Aku
memandang wajah dia dengan seribu satu perasaan. Bagaimana aku boleh terima
dia? Bagaimana aku boleh biarkan lelaki ini terus bermain dalam hati aku?
“Kita nak ke mana?” Soalnya
menghilangkan rasa kekok antara kami berdua.
“Ikut awak. Saya tak kisah.” Jawabku
tak mahu membuat keputusan.
“Saya tak tahu nak ke mana. Awak nak
ke mana?”
“Entah. Saya ikut awak.”
Aku dan Firash saling berbalas tanpa
membuat keputusan.
“McD?” Kata aku daripada terus berada
di kedai ini.
“Boleh nak pergi McD?”
Aku mengangguk.
“Okey kita pergi McD!”
Aku dan dia memilih untuk
berjalan kaki ke Mc Donald yang ada di kawasan ini dan jalan nak ke sana agak
jauh . Sedang membuat pesanan aku sekadar memesan ais krim McFlurry dan dia
pesan satu set burger kerana katanya dia masih belum makan.
Kami memilih tempat untuk makan di
tingkat atas di bahagian meja makan luar. Aku diam tidak bersuara dan sekadar
memerhati dia yang sedang makan. Dia mempelawa untuk kongi burgernya namun aku
tolak tidak mahu. Aku mengalih pandangan ke televisyen yang memaparkan
rancangan Olympic.
“Dia propose dekat Olympic mestilah
girlfriend dia terima.” Katanya mengulas apabila tayangan kejadian pasangan
atlet mengadakan lamaran di tempat Olympic.
“Dua- dua atlet?” Soalku memberi
respon sambil menyuap ais krim ke dalam mulut.
“Ya.”
“Sweetnya.” Kataku perlahan.
“Kenapa tak habiskan aiskrim tu?” Dia
menyoal apabila terpandang masih ada baki ais krim yang telah cair.
“Dah cair.” Jawabku ringkas.
“Meh sini.”
“Hah? Tak payahlah dah cair.”
“Bagi je.”
Aku teragak-agak nak bagi kerana ada
bekas gincu yang aku pakai pada sudunya namun dia selamba mengguna sudu yang
sama menyuap ais krim ke dalam mulut. Dia ni biar betul kakak aku sendiri pun
tak nak kongsi sudu atau straw bila ada kesan gincu walaupun adik-beradik
sendiri. Sekali lagi aku terpikat.
Aku perhati dia selamba makan baki
ais krim yang sedang cair. Kami bangun untuk pergi dan dia masih dengan bekas
ais krim aku.
“Nak tak?” Dia mahu menyuap baki ais
krim yang sudah cair.
Aku dan dia terhenti di hadapan
tangga. Aku mengangguk sahaja kerana dia menyoal banyak kali. Dia menyuap
cecair ais krim buat aku sebelum menuruni tangga. Aku kumpulkan semangat semasa
berjalan keluar dari restoran McDonald.
“Nak.” Pinta aku perlahan.
Dia tersenyum menahan tawa.
“Kata jelah nak suap.” Katanya
mengusik sambil menyuap aku sekali lagi.
Aku dan dia perlu berjalan
lagi untuk pulang ke rumah kawan aku. Dia mahu mengikut jalan jauh untuk lari
daripada kawan dia yang berada di kawasan kedai di sekitar rumah kawan aku dan
kedai tempat kami berjumpa tadi. Aku ikutkan sahaja kerana mahu meluangkan masa
lebih lama bersamanya selepas beberapa minggu tidak berjumpa.
Di satu lorong tiba-tiba ada
asap menerpa membuatkan aku rasa tidak senang. Aku mengayun tangan mengusir asap
yang datang ke arah aku. Aku menggeleng kepala dek rasa tak selesa. Dia
mengarah aku untuk berjalan di belakangnya untuk menghalang aku daripada terus
terkena asap yang entah dari mana datangnya.
“Saya kata jalan belakang saya kan.”
Dia menegur apabila melihat aku berjalan di sebelahnya.
Aku hanya diam tidak menjawab. Tiba
di hujung jalan lorong aku nampak ada benda dibakar di tepi longkang. Aku
mengeluh dalam hati. Sebab benda ni je ke sampai berasap. Apa-apa pun terima
kasih buat Firash tunjukkan sikap gentleman dia dapatlah merasa ala-ala drama
sweet-sweet sikit dengan dia.
Aku spontan merangkul lengan Firash
apabila kami sudah memasuki kawasan perumahan.
“Baru nak manja-manja?” Tegurnya.
“Tak boleh?” Aku bernada rajuk lalu
cepat-cepat aku menarik tangan aku daripada merangkul lengannya walaupun dia
cuba mengepit tangan aku tidak mahu lepaskan tangan aku.
Aku menarik jua tangan aku daripada
merangkul lengannya. Dia tersengih kerana dapat mengusik aku.
Setiap detik terus berlalu,
hari berganti hari, minggu bertukar minggu, tarikh pun terus berubah angka.
Hubungan aku dan Firash terus berjalan di atas jambatan tak bertanda dan terus
mencipta kenangan di dalam dunia fantasi yang tak pasti. Firash mula
menunjukkan diri dia dan aku terus terpaut dengan kebaikan dan keburukan dia.
Aku jadikan yang buruk itu indah. Aku terus pejam membutakan mata dan melihat
keburukan dalam diri dia satu perkara yang menyempurnakan kebaikannya.
Aku terhibur akan sikap dia yang
mengutamakan aku dan kerenah manjanya. Satu hari aku berada di rumah mak cik
aku pada hari hujung minggu sehingga lewat malam, dalam kebetulan pada masa itu
Firash tidak sihat dan mencari aku yang lama tidak menjawab mesej dia. Sempatlah
kami video call sekejap semasa aku lari ke tingkat atas untuk menjawab
panggilan dia.
Hati aku terus terbuai akan sikap
dia yang manja dan mesra melayan aku setiap malam. Inilah kali pertama aku
bertemu dengan lelaki yang membuat aku berasa selesa dan selamat berada di sampingnya. Malam kami dihabiskan
dengan berbual panjang di telefon sehingga masing-masing tertidur bersama
panggilan yang tak ditamatkan sehingga ke subuh dan dia sering membuka
lagu-lagu kegemarannya untuk aku dengar.
Sekali lagi badai ombak membidas
perahu kecil kami dan membuatkan kami terkapai-kapai di dasar lautan ujian dan
dugaan. Firash memberitahu aku bahawa dia mahu menghilangkan diri. Dia masih
keliru akan perasaannya sendiri dengan alasan dia mahu melakukan sedemikian
untuk mencari perasaan sebenarnya. Dia mahu aku berada di sisinya kerana dia
benar-benar perlukan dan mahukan aku bukan atas dasar dia sudah terbiasa dengan
kehadiran aku di dalam hidupnya tanpa pandangan sebagai seseorang yang bermakna
baginya.
Aku tiada pilihan dan terpaksa
menuruti permintaannya. Semakin lama aku dapat melihat pelangi di atas langit
cerah semakin pudar dan awan mendung semakin menghampiri langit kami. Dia
menghilangkan diri sebentar manakala aku menguatkan semangat diri dengan
membiarkan hari aku berlalu tanpa bayang-bayangnya. Dia muncul semula tapi
hanya sementara.
Pertemuan terakhir kami terjadi.
Dia berkeras mahu pergi dan memilih orang yang tak mampu dia hilangkan dari
kotak hatinya. Aku seakan dalam dilema. Detik yang aku takutkan telah memberi
salam untuk menetap dalam takdir aku. Aku cuba mendapatkan perhatian dan
sepasang matanya untuk memandang aku seperti awal pertemuan kami namun Firash
tetap dengan egonya untuk memilih dia bukan aku.
Perpisahan kami terus terjadi dan
terjadi, berulang dan terus berulang. Setiap kali dia kembali pasti dia akan
pergi. Kisah kami terus menampakkan dia
sebagai punca kesalahan semuanya berakhir dan bermula. Aku pula biarkan semuanya
jelas kelihatan bahawa setiap ribut yang melanda tanah kami adalah datang dari
dia. Aku tak berusaha untuk memulihkan calar yang ada pada dia dan aku biarkan
segala cela yang ada pada kertas ceritera kami diletakkan di atas bahunya
sendirian. Aku gagal mendapatkan sekeping hatinya dan membuatkan dia lupakan
kisah lalunya. Kekuatan kasih aku terhadapnya tak dapat mengalahkan kekuatan
rasa sayang Firash pada masa lalunya. Aku bukan wanita beruntung itu untuk
memiliki sayangnya.
Aku biarkan manusia sekeliling
memandangnya buruk walaupun ia adalah benar kerana aku yang lebih tersakiti
namun aku biarkan kebaikan diri dia yang dia tunjukkan kepada aku menjadi
rahsia dalam kenangan aku. Aku tak pertahankan sisi kebaikan dia apabila semua mata
memandangnya buruk. Hanya aku memandangnya baik dan buruk manakala yang lain
terus memandangnya buruk dan jahat.
Langit kami terus diisi dengan
awan mendung, hujan yang tak berkesudahan, panahan ribut petir yang akan terus
melukakan pelangi indah kami. Pelangi kami terus malap tanpa pancaran sinar
matahari. Tiada lagi langit cerah yang akan mengisi langit takdir kami.
Takdir aku dan dia terus
terhenti tanpa perjalanan yang pasti. Dia terus berdegil mahu memilih jalannya
tanpa bayang-bayang aku. Dia mahu kami berjalan di atas permaidani yang
berbeza. Dia tidak mahu berkongsi langit bersama aku dan dia tidak mahu tapak kaki aku berada di atas permukaan
jalannya .
Dia tidak memandang aku seperti
mana aku memandangnya. Dia tidak memilih aku seperti mana aku memilihnya. Dia
tidak menoleh ke arah aku seperti aku yang sentiasa menoleh mencarinya. Dia
tidak rela menyambut huluran aku sepertimana aku terus menghulur dan menanti
akan sambutannya. Perasaan aku dibiarkan bertepuk sebelah tangan. Setiap sisi
diri aku dia tak mampu terima seperti mana aku terima setiap sisinya.
Kekurangan antara kami tidak sehaluan dan kebaikan antara kami hanya satu
bayangan permainan.
Mahligai kami ibarat tak beratap.
Perasaan kami ibarat perahu yang akan karam apabila dibidas ombak yang
bergelora. Hubungan kami ibarat tanah yang berlangitkan awan mendung. Helaian
kertas ceritera kami seakan menanti titik noktahnya. Aku yang perlu menutup
buku kami setelah sekian lama aku cuba pertahankan sedangkan jiwanya terus
berkeras mahu hidup di dalam masa lalunya. Aku tidak mampu terus bertahan
memiliki fizikalnya namun bukan hati dan jiwanya. Dia terpaksa dan aku terus
terluka. Jadi, perpisahan adalah satu-satunya penamat siksaan antara aku dan pemilik
nama Firash Amsyar.
“How are you Ed?” Soalnya memecah
kesunyian dan membuang rasa janggal antara aku dan dia.
“I’m fine.” Jawabku ringkas. Aku
tidak mahu menunjukkan rasa suka walaupun ia sekadar dibuat-buat.
“Awak nampak lain. Tak macam Edlyn yang
dulu.”
“Setiap manusia berubah dan setiap
perubahan itu bergantung pada masa lalunya.”
Firash terdiam menunduk wajah. Dia
menyedut sedikit minuman sebelum mengangkat wajah mempamerkan senyuman
nipisnya.
“Sedangkan tempat ni pun dah banyak
berubah.” Tambah aku lagi.
Firash sekadar mengangguk mengerti.
“Tapi kenangan yang ada takkan hilang
kan.”
Aku tergamam akan butir bicara yang
spontan keluar dari mulutnya. Aku tahu niatnya. Aku buat-buat mengerling jam.
“I have to go. Sorry.” Pamit aku
sebelum segera bangun dari tempat duduk. Aku laju menapak keluar dari kafe ini.
Aku dengar derapan tapak kaki dia
mengejar dan suaranya memanggil aku. Aku berhenti di hadapan tempat masuk kafe
ini. Aku menoleh ke arah tempat duduk kami tadi. Sama. Sama seperti beberapa
tahun dahulu.
“Firash!” Aku meninggikan suara
dengan nada tidak senang.
“Awak tahu apa yang saya nak kan? Tak
ada siapa beritahu yang saya cari awak?”
Aku mengeluh panjang. Bukan mudah
untuk aku berpaling dari terus mencari bayang-bayang kau,Firash. Bukan mudah
untuk aku berjalan tanpa kenangan yang kau tinggalkan dan terlalu payah bagi
aku untuk terus pejam mata aku dari melihat kebaikan dalam keburukan kau.
Sekarang kau muncul dan katakan kau mencari aku setelah sekian lama kau
berkeras untuk buang aku dari kamus hidup kau. Segala amarah yang terbuku hanya
mampu aku katakan dalam hati.
“Tak. Tak ada siapa beritahu dan saya
tak nak tahu.”
“Saya betul-betul maksudkan semua tu
Ed.”
“Perempuan yang awak kejar dah tak
ada? Kenapa sekarang awak nak kutip perempuan yang awak buang?”
Dia diam tak membalas.
“Firash Amsyar, sepatutnya awak
nampak diri saya semasa saya melutut menagih kasih awak. Awak sepatutnya cari
saya semasa saya masih mengharapkan awak, semasa saya masih butakan mata saya
akan setiap kesalahan dan keburukan awak. Bukan sekarang, bukan sekarang
Firash, selepas bertahun lamanya saya bersusah payah hilangkan awak dari buku
hidup saya, selepas saya dah buang awak dari kotak fikiran saya dan setelah
saya berjaya lenyapkan bayang-bayang awak dari perjalanan hidup dan mimpi saya.
Bukan senang saya nak berjalan tanpa
awak, Firash. Setiap titisan air mata saya itu menjadi sia-sia dan sedikitpun
awak tak menoleh pada tangisan saya. Setiap rayuan saya awak biarkan diakhiri
dengan kesedihan dan penyesalan tanpa ihsan dari manusia yang bernama Firash
Amsyar. Awak tahu saya susah nak lepaskan awak kan.” Panjang lebar aku membalas
dengan nada yang menahan sebak.
Dia diam mendengar setiap luahan aku.
“Masih banyak perkara yang saya nak
kejar. Saya tak ada masa untul hal yang hanya akan menghancurkan saya.” Kata
aku dengan tegas sebelum membuka langkah.
“Awak dah ada segalanya apa lagi yang
awak nak?” Firash masih mahu menahan aku.
“Erti sebenar kebahagiaan. Saya gagal
mendapat rasa tu dari seseorang yang saya dambakan kasih sayang dia dan
sekarang saya dahagakan kebahagiaan sepenuhnya daripada keluarga saya. Saya
tutup sebelah mata untuk pandang keluarga saya kerana saya terlalu mengejar
cita-cita dan kesenangan hidup setelah sakit melayan perasaan. Hanya sebelah
kaki dan mata saya, separuh jiwa saya tadahkan untuk hidup dalam kebahagiaan
keluarga saya.
Saya hancurkan hati mereka semasa
saya tenggelam dalam kesakitan yang awak tinggalkan. Saya tak endahkan perasaan
mereka semasa saya agungkan perasaan luka saya. Saya berubah menjadi orang lain
semasa saya bertarung dengan semangat saya sendiri. Saya terlalu mengharapkan
kasih awak sehingga saya lupa saya sedang menjatuhkan diri saya sendiri
semata-mata untuk mengejar rasa sayang dari manusia bernama lelaki.”
“I’m so sorry…”
“Bertahun saya menanti untuk
perkataan tu keluar dari mulut awak. Awak tahu kenapa saya susah nak lepaskan
awak dulu?”
Aku menarik nafas panjang dan
menguatkan semangat untuk menentang panahan mata lelaki ini.
“Kerana saya takut hari ini hadir.
Kesalahan dan penyesalan adalah pasangan sejati. Setiap kesilapan akan
mewujudkan rasa kesal dalam diri semua orang. Saya takut putaran roda berubah
dan putaran awak berhenti di tempat putaran saya yang lama. Saya takut awak akan
menjadi diri saya yang merayu terhadap kasih awak.
Saya takut saya akan menjadi awak
yang dahulu, menjadi awak yang bersungguh-sungguh menolak keikhlasan perasaan
saya. Saya takut andai awak kembali, masa itu saya tak dapat terima awak dalam
masa yang sama saya berharap andai hari tu tiba saya masih dapat pejamkan mata
saya seperti dulu dan menjadi seorang dungu yang tunduk terhadap awak
semata-mata untuk menyayangi awak sepenuhnya.”
Aku tersenyum sinis.
“Tapi saya dah tak boleh terima orang
yang hancurkan hati saya, yang telah mengisi setiap malam saya dengan tangisan,
yang mencabar kekuatan semangat saya dan yang tak hargai perasaan ikhlas saya.
Awak dah berjaya letak perasaan saya dalam permainan dan permainan tu dah
tamat.”
Aku merenung ke dalam mata Firash.
“Andai ada jodoh antara kita akan ada
cara Allah satukan kita. Saya harapkan perkara yang sama tapi sekarang luka
dalam hati saya masih berparut. Tak mungkin awak dapat sembuhkan kerana awak
yang lukakannya. Sekarang tiba masanya awak rasa apa yang saya rasa dan tolong
hargai perasaan tu, perasaan yang awak sia-siakan.”
“Edlyn Farha…” Firash menyebut nama
aku dengan sepasang matanya yang mulai berkaca.
“Kehidupan yang saya impikan baru nak
bermula. Saya harap awak faham. Tinggalkan saya macam mana awak buat dahulu.
Assalamualaikum.”
TAMAT
Perasaan suka,sayang, disayangi dan menyayangi sangat normal dalam kehidupan masyarakat. Ia satu perkara wajib yang akan dialami semua golongan manusia tak kira tua atau muda, remaja atau dewasa. Yang membezakannya ialah bagaimana ia bermula, bagaimana kita menghadapi ceritera sesuatu hubungan itu dan bagaimana ia berakhir.
Masalah yang melibatkan perasaan ni amat sakit apatah lagi apabila perasaan sayang tu mulai menjadi penghuni dalam diri kita. Perasaan sayang terhadap seseorang bukanlah satu perkara yang boleh diarchive, delete atau reset. Normallah seorang perempuan nak suka seorang lelaki dan tak peliklah seorang lelaki nak ada rasa sayang terhadap seorang perempuan.
Tetapi tak semua berjaya memperoleh kisah yang indah apabila perasaan itu muncul.Yang lebih menyedihkan apabila perasaan itu sekadar bertepuk sebelah tangan, huluran tangan kita tak disambut dan perasaan tu tak dibalas. Permainan bercinta ni dikawal oleh emosi dan perasaan sepenuhnya dengan tidak rela hati. Seribu satu perasaan akan terbit di lubuk hati sebaik kita melangkah masuk ke dunia ni. Dah terjebak bukan semudah abc nak mengelak.
Hanya yang pernah alami sahaja yang akan faham. Yang tidak pernah akan menganggap hal ini kolot dan mengarut. Dah terkena nanti rasakanlah dan barulah kenal erti sedih, rindu, kecewa , hampa , duka , jiwa lara dan banyak lagi. Apa-apa pun bergantung terhadap diri kita , kekuatan kita untuk melawan semua tu.
Apabila kecewa, perasaan sedih dan emosi kecamuk itu akan menguasai diri tapi setiap seseorang ada kekuatan dan cara efektifnya tersendiri untuk melawan rasa tu. Sedih tu pasti. Kecewa tu tak dapat dielakkan. Rindu melangit tu juga akan mengharu-birukan semangat kita. Kita dah terbiasa dia ada dan kenangan merimbun tu bukannya boleh save dan delete sesuka hati.
Ibarat kisah Firash Amsyar dan Edlyn Farha. Edlyn dah menyerahkan kesetiaan dia terhadap lelaki yang telah setia separuh mati terhadap masa lalunya. Firash sendiri bertarung dengan masa kini dan masa lalunya namun kisah masa lalunya lebih kuat bertakhta dalam diri berbanding kisah dia dan Edlyn yang masih bertatih dalam kisah hidupnya. Perasaan sayang Edlyn terhadap Firash tak kuat untuk mengalahkan rasa sayang Firash terhadap masa lalunya.
Edlyn mengalami situasi perih apabila dia telah menyayangi lelaki yang tak dapat lepaskan masa lalunya. Kenangan dia dan Firash telah memenuhi isi fikirannya lagi-lagi Firash adalah yang pertama dalam hidupnya. Bak orang kata kisah pertama ni bukan mudah untuk kita lupakan. Siapa sahaja tak sedih apabila mengetahui orang yang dah mula mendapat hati kita ternyata hatinya dah dihuni oleh orang lain.
Sekian lama dia sakit melayan perasaan yang hanya meletakkan dia dalam dunia gelap tanpa hal yang bermanfaat dan bermakna. Edlyn berusaha melawan perasaan dirinya dan bangkit mengejar cita-cita. Sesetengah pihak kata itu merupakan inisiatif terbaik daripada kita terus terkurung dalam gua kekecewaan yang merugikan diri sendiri.
Melepaskan hal ini tak makan masa sehari dua, sebulan dua bulan pun tidak dan ada yang mengambil masa bertahun. Ibarat kita dah terbiasa dengan sesuatu tempat bukan mudah kita nak terima tempat lain yang asing bagi kita. Perkataan 'Move On' tak dapat diraih sekelip mata. Pelangi pun tak akan muncul tanpa hujan. Langit cerah pun takkan ada tanpa sinaran cahaya matahari.
Apa-apa pun kisah yang dialami. Hadapinya dengan sabar dan kuatkan semangat. Tiada duka yang abadi dan tiada senyuman tanpa kesedihan, Segalanya terjadi bersebab. Mungkin untuk menyedarkan kita akan perasaan sakit setelah kita menyakitkan orang lain, mungkin untuk menjauhi kita dari keburukan atau mungkin untuk memperbaiki perjalanan hidup kita. Percayalah Allah takkan meletakkan beban di bahu kita andai ia bukan kemampuan kita.
Kadang-kala apa yang terjadi dalam hidup yang mengecewakan kita bukan salah takdir tapi fikirkan semula apa yang kita sebut dalam setiap doa kita. Andai kita berdoa untuk dikelilingi dengan orang yang baik kenapa kita dijauhkan oleh dia. Andai kita berdoa mahu ditemukan dengan orang yang baik kenapa Allah tak kekalkan dia dalam hidup kita. Andai kita memohon kekuatan dan semangat yang utuh kenapa Allah menguji kita.
Andai dia dah ditentukan untuk kita, larilah sejauh mana pun, hilanglah selama mana pun andai dia untuk kita akan ada cara lain Allah temukan kita dengan dia. Jodoh ini rahsia. Kita tak tahu dengan siapa kita akan disatukan dan bila. Jadi masa yang ada ni manfaatkanlah sebaik mungkin. Sedih tu berpada-pada, kurangkan melayan rasa kecewa dan hindarilah daripada melakukan perkara yang merugikan diri sendiri. Jangan hancurkan semangat diri semata-mata untuk orang yang tak hargai kita.
Peliharalah perasaan kita dari terus disakiti 😉

Comments
Post a Comment