Wanita Bergelar Ibu
Wanita Bergelar Ibu
Aku segera bangkit dari lena yang panjang dan memaksa diri untuk menamatkan mimpi yang tak kesudahan semata-mata untuk menjerat aku untuk terus berselubung di dalam selimut. Aku bangun lantas duduk di hujung katil dan dari ekor mata aku nampak mama yang sedang berselawat di atas tikar sejadah berselang-seli memanggil aku untuk segera menunaikan solat subuh.
Aku
akur jua walaupun masih dalam keadaan separa sedar. Sebaik aku keluar dari tandas selepas selesai mengambil wudhuk, aku
nampak mama sudah menuruni tangga untuk menyiapkan segala keperluan ayah
sebelum pergi ke kerja. Seawal pagi lagi mama sudah kelam-kabut menyediakan
makanan untuk ayah bawa bekal ke tempat kerja kerana ayah memang tak gemar
makanan di kedai dan mama juga perlu menguruskan adik-adik untuk ke sekolah
tidak seperti aku yang menjadi penanam anggur sejak tamat zaman persekolahan.
Usai solat subuh aku berlari turun ke bawah
bersama adik-adik kerana ayah dan mama sudah menanti mereka di bawah. Mama
menyuruh mereka minum minuman milo
terlebih dahulu sebelum keluar dari rumah. Aku menjadi pemerhati setiap gerak
geri mama yang lincah membungkus makanan bekal ayah dan adik-adik. Mama duduk
di atas kerusi meja makan sambil meneguk air suam sedikit demi sedikit dan hela
nafas yang panjang setelah ayah dan adik-adik keluar dari rumah untuk ke
sekolah dan tempat kerja.
Aku tidak duduk bermaharajarela menjadi pemerhati, aku
mula mengambil gelas-gelas yang adik-adik gunakan tadi lalu aku bawa ke singki.
Sedang aku mencuci kuali, pinggan, mangkuk yang ada di singki aku dengar tapak
kaki mama dan bunyi mesin basuh sedang digunakan. Aku tahu mama mula membasuh
baju. Seketika kemudian mama senyap dan bunyi tv yang memaparkan ceramah pagi
mengisi kedengaran.
Aku menoleh ke ruang tamu
mengintai apa yang sedang mama lakukan, mama sedang membersihkan laman di luar.
Bunyi penyapu pula aku dengar perlahan dari luar rumah. Aku teruskan mencuci
pinggan tanpa hiraukan apa-apa. Mama muncul lalu tangannya mencapai kain lap.
Mama memberitahu makanan untuk sarapan sudah disediakan. Aku terpana. Secepat
itu mama menyediakan sarapan sekali gus bekal ayah pada waktu singkat pagi ini.
Seperti selalu mama tidak
akan duduk diam seperti lipas kudung , mama lincah membersihkan ruang tamu
setiap pagi, tingkap-tingkap dan meja segala yang perlu dilap akan mama lap,
dia menyapu lantai lalu dia mop pula barulah mama duduk seketika sehingga
lantai kering sebelum mama menyidai baju-baju di luar. Sambil makan aku
mengerling mama yang masih membuat kerja rumah. Masuk sahaja dari luar setelah selesai
menyidai baju, mama bergegas melipat baju-baju pula yang bertimbun bagai gunung
di dalam bakul.
Rutin mama berulang lagi
apabila adik-adik pulang ke sekolah. Sebelum jam 1 tengah hari mama sudah
menyediakan makanan untuk adik-adik. Menanti mereka pulang dari sekolah.
Menggosok baju sekolah agama mereka pula, mengemas rumah selepas mereka sudah
membuat sepah semasa makan. Waktu petang pula mama dapat berehat seketika
sementara mereka tiada. Aku berdiri di sebalik pintu kamar mama, aku memerhati
mama yang sedang tertidur sambil memegang buku di tangannya. Jelas riak wajah
mama menunjukkan mama sedang keletihan.
Aku tersenyum sendirian itulah kuasa seorang
ibu. Rutin itulah yang akan berulang setiap hari dari pagi hingga ke malam.
Mama yang akan menguruskan 99% kerja rumah sepanjang hari sedangkan kami
anak-anak hanya duduk menanti disuap nasi. Kami akan kenyang bila mama sudah
masakkan, kami akan hidup dalam rumah yang selesa bila mama bersihkan, kami
akan dapat pakai baju elok bila mama yang basuhkan dan segalanya mama.
Walaupun rutinnya tidak
berubah malah kerja semakin bertimbun jarang aku dengar mama hendak merungut
malah aku sebagai anak yang cuba melakukan separuh daripada kerja mama pun bila
sudah habis aku akan rebah keletihan. Jika nak dibandingkan dengan apa yang
mama lakukan sudah pasti usaha aku tak setimpal dengan apa yang dikerjakan
mama.
Kini bila aku semakin
meningkat dewasa, umur bertambah, tanggungjawab sebagai manusia bermula dan aku
keluar dari rumah untuk mencari ilmu dan perlu hidup berdikari tanpa bantuan
dari seorang ibu aku mulai sedar, segalanya aku perlu sandang di atas bahu.
Takkan aku mahu mengharapkan orang lain pula.
Baju yang penuh di dalam
bakul aku perlu cuci sendiri, tiada kesenangan buka mata terus makanan
terhidang atas meja, kawasan tempat tinggal aku perlu kerah tenaga bersihkan
untuk hidup dengan selesa dan segala keperluan aku perlu sediakan sendiri. Satu
hal rumit yang aku belajar dan terasa sangat tersekat bila hidup sendiri tak
semewah seperti bersama keluarga, aku kena bijak menguruskan perbelanjaan tidak
seperti bersama mama segala perkakas rumah sudah dibeli.
Semakin bertambah umur,
apabila sudah bijak berfikir, sudah tahu untuk menilai, inilah masanya untuk
menggalas separuh tanggungjawab mama bagi mengurangkan beban mama kerana kerja
rumah tiada penamatnya, setiap hari aku perlu makan, setiap hari aku perlu ganti
pakaian, setiap hari aku perlu tidur dan bangun, setiap hari aku perlu teruskan
hidup di dalam rumah jadi tak sepatutnya
mama dibiarkan membuat kerja sendirian.
Jadi nikmat apa lagi yang perlu aku kufur
sedangkan mempunyai seorang ibu itu adalah kurniaan oleh Allah yang sungguh hebat. Apabila hidup
bersama Mama aku senang-lenang seakan hidup bertakhtakan permata. Aku kenyang
sedang mama menahan lapar kerana mendahulukan anaknya, aku cukup berehat
panjang sedangkan kadang-kala mama sesak bernafas dek lelah melaksanakan
tanggungjawabnya walaupun dalam keadaan sakit. Itulah kuasa seorang wanita yang bergelar Ibu.
TAMAT Meskipun dunia menawarkan seribu wanita tiada seorang pun dapat menggantikan tempat seorang Ibu. Meskipun kakak kita ataupun adik-beradik Ibu kita sendiri yang mempunyai pertalian darah pun tak 100 peratus persis Ibu kita. Hanya manusia dengan gelaran Ibu yang melahirkan kita mempunyai kriteria, naluri, sifat dan hati yang sempurna untuk menggalas tanggungjawab itu buat kita.
Ramai anak-anak terlepas pandang akan sikap mereka yang sedikit demi sedikit mengguris hati Ibu tanpa mereka sedar. Sesetengah anak tidak menyedari bahawa percakapan, tingkah laku dan tindakan mereka seakan tidak memahami atau menghargai lelah Ibu yang telah berusaha melaksanakan tanggungjawab menjaga, merawat, mengasuh dan mendidik sepanjang membesarkan mereka.
Segelintir masyarakat sebagai seorang anak sering berpaling akan setiap pengorbanan Ibu yang cuba sedaya upaya memuaskan hati mereka dan memenuhi segala permintaan mereka namun secebis cela Ibu dipandang sebagai kesalahan besar dan mereka seolah-olah membutakan mata akan kebaikan Ibu yang sebesar dunia daripada sejak mereka berusia bayi sehingga menjadi seorang manusia yang bekerjaya. Setelah menikmati kesenangan syurga dunia mereka mendabik dada dan mendongak langit sehingga menjadi kacang yang lupakan kulit terhadap orang tua mereka.
Pengorbanan seorang Ibu setanding dengan jasa seorang Bapa yang turut bersengkang mata melawan keletihan demi mencari sesuap nasi untuk menanggung sebuah keluarga dengan memikul seorang isteri dan anak-anaknya di bahunya sebagai tanggungjawab hakiki . Ibu dan Bapa adalah corak kehidupan yang melengkapkan erti kekeluargaan. Tanpa manusia bergelar Ibu Bapa kita tak mungkin dapat celik mengenal dunia dan terus bernafas di atas muka bumi.
Tugas seorang anak setelah meningkat dewasa adalah mengambil alih tanggungjawab menjaga orang tua mereka sebagai tanda berterima kasih untuk membalas jasa setelah sekian lama membesarkan kita. Ibu bapa ini perlu dipelihara ibarat cincin yang bertakhtakan permata keberkatan hidup yang akan menyinari kebahagiaan anak-anaknya. Anak yang mengutamakan Ibu Bapa adalah anak yang berjaya. Anak yang baik adalah anak yang mendahulukan orang tuanya. Anak yang membahagiakan Ibu dan Bapanya akan memperoleh kebahagiaan dalam hidupnya meskipun mengharungi ujian yang menyedihkan.
.....AdelieCasper.....


Comments
Post a Comment